Pada 24 - 26 Nov Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia menganjurkan Festival Malaysia Inovatif 2010.

Sempena dengan program tersebut satu pameran diadakan di Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur bermula 11.00 pagi hingga 10.00 malam. IPG Kampus Ipoh telah diberi penghormatan oleh IPG Induk mengadakan pameran berkenaan produk-produk inovasi yang telah direka oleh IPG Kampus Ipoh yang telah memenangi beberapa anugerah di peringkat Negeri, Kementerian dan Kebangsaan. Aturcara Pameran

Kegemilangan penganjuran Festival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010)  dimeriahkan dengan penganjuran Malam Kemuncak  Malaysia Inovatif 2010 pada 25 November 2010. Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia akan menyempurnakan majlis ini pada jam 8.30 malam.

Malam Kemuncak  Malaysia Inovatif 2010 juga akan dikelolakan oleh Adibah Noor sebagai pengacara. Pelbagai atur cara menarik diadakan seperti melancarkan produk inovasi MOSTI, persembahan Gitaris Terbanyak oleh 1,000 guitaris bagi mencipta Malaysia Book of Records, Pertunjukan Formasi Logo 1Malaysia menggunakan manusia, persembahan taridra oleh 40 orang kanak-kanak Tunas Budaya serta persembahan artis terkenal tanah air iaitu Faizal Tahir dan Stacy.

Gambar hiasan : Pelancaran Malaysia Inovatif 2010 Pada Januari 2010

 

Petikan Berita  dari BERNAMA
Rakyat Perlu Berfikiran Inovatif Untuk Jana Kekayaan Negara - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia supaya berfikiran inovatif bagi menjana kekayaan negara untuk memacu perubahan dan transformasi besar negara.

Beliau berkata sekiranya rakyat mampu menjana kekayaan melalui daya inovasi, maka negara akan dapat melonjakkan hasil kekayaan ke tahap yang lebih tinggi.

"Jika kita meninjau dari segi wawasan negara kita, perjalanan menuju kepada tahun 2010 sarat dengan pelbagai ujian dan cabaran yang perlu ditempuhi dan ditangani bersama.

"Yang harus kita lihat ialah bagaimana kita boleh menjana kekayaan untuk memacu perubahan dan transformasi besar yang dihasratkan oleh kita sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika berucap menutup Malam Kemuncak Festival MalaysiaInovatif 2010 (MI2010) di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, Khamis.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Najib berkata kekayaan juga boleh dijana melalui pelaburan sama ada pelaburan dalaman ataupun dari luar negara.

"Kalau kita boleh tentukan permintaan dalaman negara kita berada paras tinggi ini bererti kita boleh jana pertumbuhan ekonomi pada tahap tinggi," katanya.

Beliau berkata untuk memikir secara inovatif bukanlah tugas para saintis semata-mata tetapi rakyat Malaysia di semua peringkat akar umbi bertanggungjawab untuk menyemai budaya pemikiran itu.

"Ada orang kata, untuk berinovatif itu kerja para saintis kerana itu bidang mereka yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, sebenarnya untuk berinovatif semua daripada kita patut berfikiran inovatif.

"Sama ada kita seorang guru, pelajar, pengusaha, pekerja ataupun pemimpin tidak kira apa saja latar belakang kita boleh membawa kepada pemikiran yang inovatif, inilah mesej utama yang kita nak sampaikan pada malam ini dan seterusnya,"katanya.

Beliau berkata walaupun MI2010 melabuhkan tirai malam itu, ia tidak bermakna bahawa rakyat tidak perlu lagi berinovasi kerana tahun 2010 merupakan tahun kebangkitan nilai dan budaya inovatif supaya ia mekar di akar umbi masyarakat di semua peringkat.

Najib berkata untuk membudayakan inovasi sebagai satu proses pemikiran yang menjadi kelaziman bagi setiap individu mahupun sebuah organisasi, ia bertitik tolak kepada sesuatu yang boleh dijadikan cabaran untuk seseorang itu teruja untuk melakukannya.

"Kalau kita berdepan dengan sesuatu permasalahan atau cabaran jangan kita fikir untuk mencari penyelesaian yang lazim, kita harus tanya pada diri kita apakah alternatif yang lebih kreatif.

"Kalau kita jadikan ini sebagai satu proses pemikiran kita, ini bererti bahawa tahun 2010 iaitu tahun inovatif, Malaysia sudah berjaya untuk meresapi proses pemikiran sebagai budaya yang berakar umbi dalam masyarakat, berani berfikir di luar kotak dan tanya pada diri kita apa penyelesaian yang lebih kreatif," katanya.

Najib turut memuji beberapa pencapaian MI2010 yang berjaya mencungkil bakat-bakat inovasi dalam pelbagai bidang antaranya, inovasi pelajar-pelajar MRSM Muadzam Shah yang telah menggunakan bahan buangan pulpa tebu untuk dijadikan penapis udara mesra alam bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan hadiah kepada 11 pemenang antaranya anak-anak inovatif Sekolah Kebangsaan Seri Utama, Batu Pahat yang menjadi johan Pertandingan Kreativiti Muzikal Peringkat Kebangsaan dengan persembahan "Aku Yang Terbuang" yang menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Beliau turut menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM5,000, piala dan sijil kepada johan kategori sekolah rendah Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Guong Ann, Sibu, Sarawak dengan produk inovasi Topi Serbaguna.

Manap and The Gang, pengajar Institut Kemahiran Mara, Johor, pula memenangi tempat pertama program realiti televisyen Idea: Malaysian Inventors' Challenge dengan rekaan "Hanger Dryer", sejenis alat pengering pakaian berkuasa elektrik yang boleh menghilangkan kedutan.

Mereka merangkul hadiah wang tunai berjumlah RM30,000.

MI2010 yang bertemakan "Meraikan Kreativiti" telah dilancarkan pada 27 Januari lepas.

Sebanyak 257 program dan aktiviti berlandaskan inovasi telah dikendalikan oleh 32 organisasi merangkumi kementerian, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta termasuk siri jelajah Karnival MI2010 ke enam zon di utara, selatan, timur, tengah, Sabah dan Sarawak. - BERNAMA